Allah s.w.t. telah mengurniakan logam galian yang berharga iaitu Emas dan perak. Ia merupakan hasil bumi yang banyak manfaat kepada manusia dan manusia pula menjadikannya nilai tukaran wang bagi segala sesuatu. Sementara syariat pula mengibaratkan emas dan perak sebagai sesuatu kekayaan alam yang hidup dan berkembang.Dalam hal ini, zakat emas dan perak terbahagi kepada dua perbahasan iaitu atas zat atau ‘ain emas dan perak itu sendiri sama ada dipakai atau disimpan dan perbahasan kedua ialah zakat mata wang kerana sandaran mata wang pada zaman ini asasnya kepada emas.
ZAKAT EMAS DAN PERAK
Zakat diwajibkan ke atas pihak yang memiliki emas dan perak apabila telah sampai nisab dan telah cukup haul setahun.
DALIL WAJIB ZAKAT EMAS DAN PERAK
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan ingatlah orang yang menyimpan emas dan perak, serta tidak membelanjakannya di jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan balasan atau azab seksa yang tidak terperi sakitnya”. (surah at-Taubah 34)
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
Tidak ada seseorang yang mempunyai emas dan perak yang tidak menunaikan zakatnya, melainkan pada hari kiamat dijadikan hartanya itu beberapa keping api neraka. Setelah dipanaskan, digosokkan lambung, dahi dan belakangnya. Setiap kali ia sejuk dipanaskan semula pada satu hari yang lamanya 50 ribu tahun sehingga Allah menyelesaikan segala perkara yang berkaitan dengan hambaNya. -Riwayat Muslim-